Oleh Komander Dr Haliza Mohd Zahari -

  COVID-19 bukan sekadar krisis keselamatan kesihatan, tetapi turut membabitkan krisis keselamatan sosial dan keselamatan kemanusiaan.

Walaupun program pemberian vaksinasi peringkat kebangsaan dilaksanakan besar-besaran, kejayaan melawan COVID-19 ini turut bergantung tingkah laku rakyat terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

Hasrat kerajaan meneruskan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) harus disokong, disebabkan penambahan kes baharu dan pengwujudan kluster seolah-olah tidak menunjukkan simptom keredaan.

Walaupun ia akan memberi impak besar kepada banyak sektor terutama ekonomi, jika dilihat perspektif lebih luas terdapat keperluan penilaian semula keperluan logistik sistem kesihatan awam.

Di samping sumber manusia, keperluan sokongan ubat-ubatan, peralatan dan perkakasan adalah penyambung talian hayat kepada perkhidmatan kesihatan bagi rawatan COVID-19 di semua hospital.

Kekurangan bekalan bukan sahaja memberi impak besar kepada individu dirawat, malah boleh melumpuhkan sistem kesihatan negara.

Jika ini berlaku, negara bakal berdepan krisis kesihatan terburuk dalam sejarah kesihatan negara.

Dengan peningkatan penularan COVID-19 juga, Kementerian Kesihatan (KKM) mengalami kesukaran.

Bukan hanya dalam membuat keputusan untuk memberi keutamaan katil di wad unit rawatan rapi (ICU) kepada pesakit yang mempunyai potensi sembuh tinggi atau sebaliknya, tetapi juga menghadapi cabaran dalam pengurusan peralatan hospital yang mana memerlukan penyelenggaraan kerana digunakan tanpa henti.

Di sebalik penjagaan peralatan dan perkakasan, satu lagi elemen penting perlu diberi perhatian rapi adalah petugas KKM dan sukarelawan yang bertungkus lumus memberi khidmat sokongan terbaik.

Mereka barisan hadapan yang mempertaruhkan segalanya dalam menyelamatkan nyawa ramai pesakit COVID-19.

Walaupun usaha mereka masih diteruskan, di sebalik tenaga dicurahkan, timbul rasa lelah dan lesu untuk melawan pandemik. Dengan keadaan berlaku dan semakin meruncing, negara perlu mempunyai lebih banyak strategi untuk mengekalkan kelestarian sistem kesihatan.

Kolaborasi sivil dan tentera dalam melawan pandemik dengan menyediakan hospital medan secara tidak langsung membantu dalam menambah baik serta mempercepatkan respon kepada penularan wabak ini.

Ia juga satu medan untuk melestarikan sistem kesihatan negara di mana semua sumber sistem kesihatan dalam negara digerakkan dan diguna pakai secara ekonomi, efisien dan efektif.

Ia memperlihatkan pemerkasaan pengurusan sistem kesihatan negara secara menyeluruh.

Hospital medan boleh dioptimumkan penggunaan kerana ia lebih mudah dimobilisasi dan dioperasi. Oleh itu, pemilihan geografi untuk penempatan hospital medan sangat penting terutama di kawasan Zon Merah yang kritikal, serta memerlukan rawatan segera.

Dengan kepadatan pesakit dalam hospital kerajaan sedia ada, hospital medan satu opsyen baik untuk digunakan secara meluas.

Tempoh sekatan pergerakan penuh yang dilanjutkan ini, diharap dapat memberi perubahan drastik kepada penurunan kes harian.

Pada masa sama, diharap ia membantu mengurangkan kesan pandemik kepada rakyat dan mengurangkan beban ke atas peralatan dan perkakasan, di samping memberi sokongan serta kekuatan kepada barisan hadapan untuk meneruskan perjuangan.

Bagi sama-sama menyokong hasrat negara, menjadi tanggungjawab semua untuk lebih serius dalam mematuhi peraturan dan SOP ditetapkan demi kejayaan melawan COVID-19.

Penulis adalah Pensyarah Kanan dan Pengarah Pusat Penyelidikan Bantuan Kemanusiaan dan Peredaan Bencana (HADR), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM)

Post a Comment

PENAFIAN: KuDotMy tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.

أحدث أقدم