Oleh Dr Muhammad Fahmi Md Ramzan

Topik hangat sering diketengahkan perwakilan negara anggota Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada Perhimpunan Agung (UNGA) pastinya berkenaan penyalahgunaan kuasa veto dalam kalangan anggota tetap Majlis Keselamatan.

UNGA sesi ke-79 melabuhkan tirainya pada minggu lalu tidak terlepas daripada gesaan supaya kuasa veto itu dihapuskan atau setidak-tidaknya dihadkan penerapannya.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dalam ucapannya turut membuat kenyataan tegas supaya kuasa veto dihadkan kerana sudah lama menghalang usaha keamanan global.

Isu kuasa veto memang sentiasa mencetuskan polemik hangat berterusan sejak awal penubuhan PBB kerana dilihat menjadi penghambat kepada Majlis Keselamatan bertindak menangani isu antarabangsa mendesak, sekali gus memberi kesan besar terhadap institusi itu secara keseluruhan.

Apabila ditinjau keterangan Artikel 27 Piagam PBB, keputusan Majlis Keselamatan mengenai semua perkara substantif memerlukan undian afirmatif atau bersetuju tiga per lima atau sembilan anggota termasuk undi setuju daripada lima anggota tetap (P5), iaitu Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK), Perancis, China dan Russia. Undian berkecuali anggota tetap juga secara lazimnya tidak menghalang sebarang resolusi daripada diluluskan.

Walaupun istilah 'veto' secara zahirnya tidak dinyatakan dalam Piagam PBB, keterangan Artikel 27 secara jelas menyatakan perlunya undi setuju atau setidak-tidaknya berkecuali oleh anggota tetap dalam meluluskan sesuatu resolusi.

Berdasarkan tafsiran artikel itu, undian negatif atau menentang sinonim disebut sebagai 'veto' oleh mana-mana anggota tetap akan menghalang penerimaan draf resolusi daripada diluluskan walaupun memperoleh undian diperlukan, iaitu sekurang-kurangnya 9 daripada 15 undian daripada keseluruhan anggota Majlis Keselamatan.

Bertitik tolak daripada aturan itu, lima negara anggota tetap dilihat mempunyai kelebihan dan kuasa istimewa untuk menghalang penerimaan sebarang resolusi.

Contohnya, usul kecaman dan tindakan terhadap pelanggaran hak asasi manusia besar-besaran di Syria yang sering diveto Russia. Begitu juga usul demi usul bagi mengecam pendudukan Israel ke atas wilayah Palestin sentiasa diveto AS.

Hal ini mengundang kritikan berterusan oleh pemikir bahkan juga sebahagian besar pimpinan negara anggota PBB yang mendesak supaya reformasi Majlis Keselamatan dilakukan, antaranya menghapuskan penggunaan kuasa veto dianggap sebagai 'anakronisme atau ketinggalan zaman, tidak adil dan tidak demokratik.

Namun sudah tentu, bukan suatu langkah mudah untuk menghapuskan kuasa veto dalam struktur Majlis Keselamatan atas faktor penentangan negara kuasa besar.

Bahkan, tidak keterlaluan untuk menyatakan ia langkah hampir mustahil kerana sebarang pindaan terhadap aturan dalam Piagam PBB itu sendiri termasuk untuk menghapuskan kuasa veto mestilah melalui pengesahan daripada lima anggota tetap yang juga pemegang kuasa veto seperti termaktub dalam Artikel 108 Piagam PBB.

Oleh itu, langkah dilihat wajar dan realistik serta boleh diharapkan masyarakat antarabangsa buat masa ini adalah melalui 'kempen' mengehadkan penggunaan kuasa veto, iaitu mengecualikannya pada aturan terkandung dalam Bab VII Piagam PBB memperuntukkan tindakan berkenaan ancaman terhadap keamanan, pelanggaran keamanan dan tindakan pencerobohan, termasuk berkaitan pelanggaran hak asasi manusia besar-besaran.

Justeru, melalui usul pengehadan kuasa veto, sebarang penentangan terhadap draf resolusi berhubung penyelesaian kes mencakupi skop perbahasan Bab VII Piagam PBB dianggap tidak sah kerana berlakunya pengecualian terhadap kes berkenaan.

Ini tidak mustahil direalisasikan berdasarkan catatan sejarah, ketika tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) melakukan campur tangan ketenteraan atas nama kemanusiaan di Kosovo pada 1999 dianggap sebagai pengecualian terhadap peraturan am mandat Majlis Keselamatan.

Pertubuhan serantau melaksanakan campur tangan tanpa melalui kelulusan Majlis Keselamatan didakwa mengalami 'dead lock' (kelumpuhan) dalam mengeluarkan mandat untuk tindakan kemanusiaan akibat diveto China dan Russia.

Peristiwa itu secara tidak langsung memberi bayangan apabila Majlis Keselamatan dilihat 'tidak mampu' mengeluarkan mandat berhubung tindakan kemanusiaan terhadap kekejaman besar-besaran berlaku, pengecualian veto terhadap situasi berkenaan seolah-olah terpakai.

Ia secara tidak langsung membangunkan mekanisme baharu tindakan kolektif alternatif melalui pertubuhan serantau mencerminkan langkah ke arah perubahan dalam undang-undang antarabangsa.

Penulis ialah Penganalisis Undang-Undang Antarabangsa

Post a Comment

PENAFIAN: KuDotMy tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.

أحدث أقدم