Oleh Mejar (B) Ramli Abdul Rahim

Tahun 2020 bakal meninggalkan kita dan apa yang mungkin pernah menjadi aspirasi dan impian kita masih tidak kesampaian, lantas, kita perlu membuat muhasabah diri, justeru, kejayaan sebenar itu tidak boleh diukur dengan nilai materi ringgit dan sen semata-mata.

Kita mengharapkan dapat menjadi negara bersatu, dengan masyarakat Malaysia yang yakin, mempunyai nilai moral dan etika yang kukuh, hidup dalam masyarakat yang demokratik, liberal dan bertolak ansur, penyayang, adil dari segi pengagihan ekonomi yang progresif dan makmur.

Cabaran utama adalah mewujudkan negara yang bersatu mempunyai matlamat yang dikongsi bersama dalam negara yang aman, berintegrasi tanpa sempadan wilayah dan kaum, hidup dalam harmoni, bekerjasama sepenuhnya secara adil sebagai satu bangsa Malaysia.

Kita mengimpikan sebuah masyarakat yang berjiwa bebas, toleran, tenteram dan maju, dengan keyakinan akan keupayaan sendiri, berbangga dengan apa yang kita miliki dan apa yang telah dicapai, cukup gagah menghadapi pelbagai masalah masa depan.

Masyarakat Malaysia mesti dapat dikenali melalui usaha mencapai kecemerlangan, menyedari akan semua potensinya, tidak mengalah kepada sesiapa dan dihormati rakyat negara lain dengan prestasi dalam pelbagai bidang.

Cabaran yang perlu kita hadapi ialah usaha mewujudkan dan membangunkan masyarakat demokratik yang matang serta mengamalkan satu bentuk demokrasi Malaysia yang mempunyai persefahaman, berasaskan masyarakat yang boleh menjadi contoh kepada negara membangun yang lain. Kita juga mempunyai aspirasi untuk mewujudkan masyarakat liberal dan bertolak ansur pelbagai kaum yang bebas mengamalkan adat, kebudayaan dan kepercayaan agama mereka dan pada masa yang sama meletakkan kesetiaan mereka kepada negara tercinta.

Semaian perasaan kasih perlu dibina dengan mewujudkan masyarakat penyayang dan budaya menyayangi iaitu sistem sosial yang mementingkan masyarakat lebih daripada diri sendiri dengan kebajikan insan tidak berkisar pada negara atau orang perseorangan saja tetapi di sekeliling sistem keluarga yang mantap.

Gagasan untuk membina masyarakat yang adil dalam bidang ekonomi perlu dicerna dengan melaksanakan pengagihan kekayaan negara secara adil dan saksama, dengan wujudnya perkongsian sepenuhnya bagi setiap rakyat dalam perkembangan ekonomi.

Pada tahun 2020 dunia terpaksa melalui krisis pandemik Covid-19 dan wabak alami itu turut menjejaskan kesejahteraan rakyat dan krisis ini bukan sahaja menguji ketabahan malah mengubah pola kehidupan seharian kita dengan norma baharu.

Namun di sebalik ketidakselesaan yang melanda seluruh dunia hasil daripada pandemik Covid -19, kita harus bersyukur melihat semangat kesatuan dalam kalangan rakyat tanpa mengira bangsa dan agama saling menghulurkan tangan serta berganding bahu untuk mendepani ujian Allah SWT.

Sebagai manusia Muslim yang beriman kita bersabar, kemelut pandemik Covid-10 dan iklim politik alami yang turut menjejaskan ekonomi domestik, lantas, negara ini berdepan dengan satu ujian berikutan penularan wabak Covid-19 dan kebanyakan kerajaan di dunia sudah pun melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sepanjang tahun 2020 ekonomi dunia terjejas yang melibatkan negara-negara maju dan kegawatan ekonomi yang bersifat alami itu ditandai dengan rakyat yang hilang mata pencarian kerana mungkin tidak boleh keluar untuk berniaga atau ada segelintir yang menerima ujian dalam bentuk penyakit apabila disahkan positif virus berkenaan.

Pasang surut bahtera kehidupan dibumbui dengan ujian Allah SWT dengan keadaan tidak menentu hingga vaksin Covid 19 ditemui, sebenarnya Allah SWT ingin mengajar kita semua mengenai sesuatu dan setiap apa yang berlaku pasti mempunyai hikmah tersendiri.

Firman Allah dalam Surah Al-Mulk, Ayat 2 bermaksud: "Dialah yang mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya, dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat)."

Segala yang berlaku baik apa yang di langit atau di bumi adalah dalam ilmu Allah SWT dan dalam perancangan-Nya, justeru sesiapa yang ditimpa sesuatu musibah perlu diingatkan supaya bersangka baik dengan Allah SWT, memperbanyakkan doa, berikhtiar, bertawakal serta bersabar. Sebagai manusia yang bergelar hamba, pastinya kita tidak terlepas daripada melakukan kesilapan atau dosa namun Rasulullah SAW mengingatkan kepada kita semua supaya sentiasa bersabar, berusaha mengubati penyakit dan bertawakal selepas segala ikhtiar dilaksanakan.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), kadar pengangguran negara pada Ogos 2020 kekal pada 4.7 peratus, namun, bilangan penganggur pada bulan berkenaan turun sedikit sebanyak 3,500 kepada 741,600 berbanding Julai 2020.

Sementara perkembangan mutakhir pada 3 Oktober, menunjukkan 2,000 kakitangan syarikat penerbangan Malindo Airways Sdn Bhd (Malindo) berdepan dengan masa depan suram. Tahun 2020 akan pergi meninggalkan kita sebagai tahun yang muram dan mencabar, lantas, ia menggambarkan satu tahun yang mencabar dan sangat luar biasa dan ia sangat unik yang belum pernah kita lalui sepanjang sejarah peradaban moden.

Namun, hidup perlu diteruskan, kita tidak mampu untuk terus berkurung di rumah untuk tempoh lama, justeru ekonomi perlu digerakkan, kehidupan sosial perlu disambung termasuk untuk bekerja dan sesi persekolahan diteruskan seperti biasa.

Masyarakat perlu bersedia dan menerima hakikat bahawa pandemik Covid-19 akan terus berlegar mungkin untuk tempoh 2 tahun lagi, sehingga vaksin dan rawatan khusus di temui untuk kita menarik nafas lega.

Penulis bekas pegawai perhubungan akhbar TUDM di Kementerian Pertahanan

Post a Comment

PENAFIAN: KuDotMy tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.

أحدث أقدم