Oleh Dr Muhammad Faisal Ashaari
Cabaran kepada agama
Pendekatan baharu dalam agama
Penulis adalah Pensyarah Kanan, Pusat Kesejahteraan Ihsan dan Komuniti, Fakulti Pengajian Islam UKM
AGAMA mengikat segala tingkah laku manusia kerana agama mempunyai autoriti, datang dari tuhan yang mencipta manusia.
Tradisi pula datang daripada adat yang sudah lama diamalkan oleh
sesebuah masyarakat, namun generasi baharu bagaikan tidak menghargai
aturan agama dan ketetapan tradisi kerana mereka mahukan gaya hidup
bebas dan tidak terikat dengan mana-mana pihak.
Kecenderungan kepada kebebasan dan menolak tradisi menjadi rahsia umum
kerana mereka generasi internet, saluran maya yang mengajar mereka erti
kebebasan.
Tiada halangan dan larangan bila berada dalam
dunia maya kerana mereka boleh akses dan berinteraksi dengan sesiapa
yang dikehendaki. Tidak pula dimarahi apabila membelok ke kanan
sedangkan 'waze' memberi panduan arah ke kiri. Inilah kelebihan
internet.
Dalam dunia realiti, penuh dengan larangan dan
arahan yang disusuli dengan marah dan herdikan. Inilah perkara yang
mereka tidak mahu kerana bagi mereka, tiada satu yang tetap dan tidak
berubah, semua sudah menjadi cair dan perlu mendakap kepelbagaian.
Cabaran kepada agama
Ini
cabaran kepada agama dan tradisi, sekiranya kedua perkara ini tidak
melakukan perubahan, ia akan dianggap lapuk, kolot dan mundur. Patutlah
mereka rasa bosan dengan istilah tarbiah, taat, amal dan iman.
Ada kemungkinan kebosanan itu disebabkan pendekatan agama dan tradisi
tidak sesuai dengan jiwa generasi baharu. Hidup mereka yang berteraskan
teknologi menuntut semua perkara menjadi cepat dan segera, mereka bosan
jika lambat dan tidak berubah.
'Tak mainlah' teh tarik dan
nasi dagang kerana itu cita rasa lama atau old taste. Pilihan mereka
ialah makanan segera, cool blog ice, 'makaroni cheese', 'cabonara' dan
masakan barat.
Mereka mahu yang baharu, sensasi, teruja,
moden dan ada kelainan, mereka mahu diraikan pandangan, pendapat, hak
dan keinginan. Yang lama, tradisional, lambat, garang, kasar dan bengis,
semua membosankan.
Memang baharu tidak dapat elak
daripada kebebasan, kelainan dan sensasi. Apabila ada pembaharuan, ia
memaksa berubah dari zon selesa kepada zon baharu yang mungkin berdepan
dengan pelbagai kemungkinan.
Apa yang pasti, tidak
semestinya mengikut ketetapan autoriti dan amalan tradisi, ia mestilah
mengikut kemahuan isi hati dan keinginan rasa nafsu. Apabila mereka mula
ingin lolos dari ikatan tradisi Melayu dan panduan agama, maka jarum
liberalisme bermula.
Kebebasan bukan dibuat-buat sehingga
mereka perlu dimarahi untuk berubah, tetapi ia perkara yang menjadi
semula jadi dalam diri mereka. Ia bukan salah acuan pendidikan di rumah
atau sekolah, tetapi itulah didikan mereka terima dari internet dan
media baharu yang lebih berkesan.
Cuba lihat, apabila
mereka bermain permainan video dan melayari Facebook, apabila dipanggil
telinga mereka bagaikan tidak lagi mendengar kata-kata orang lain.
Mak panggil pun sudah tidak dengar, orang sebelah pun tidak dihiraukan.
Betul-betul fokus dan berada dalam dunia mereka sendiri yang dinamakan
dengan dunia siber.
Inilah nilai baharu ditanam kepada generasi baharu, mementingkan interaksi dengan teknologi dan alam siber berbanding lain.
Apabila media baharu sudah berada di tangan, mereka juga tidak segan
dan tiada sebarang halangan untuk membuat komen dan bercakap apa sahaja
yang mereka mahu.
Apabila ikut suka hati dan ikut suka
mulut, maka gaya bahasa pun sudah jauh berbeza dan ada kelainan dengan
nilai bahasa yang diamalkan. Bahasa keras, kasar, maki hamun, sinis,
sarkastik dan sebagainya adalah gaya yang mereka amalkan.
Tidak kurang pula yang pandai cakap, komen dan 'poyo', tetapi tidak
pandai buat. Ini semua adalah sebahagian kesan secara tidak langsung
dari internet dan media baharu yang telah banyak mengubah nilai
masyarakat.
Pendekatan baharu dalam agama
Ringkasnya, mereka memerlukan pendekatan baharu dalam agama. Ya, teras
dan akidah dalam agama tidak berubah, tetapi pendekatan perlu berubah.
Contohnya, mereka tidak boleh terima kalau diperintah tanpa alasan logik
dan ingin turut sama dalam membuat keputusan, barulah rasa dihargai.
Dari sudut tradisi Melayu pula, ia sesuatu yang membimbangkan kerana
tiada yang tetap dalam sesebuah budaya, tidak seperti agama yang
mempunyai kitab suci. Apa pun, ia mesti dipelihara dan dipertahankan
menerusi nilai hidup yang baik dan universal.
Akhirnya,
sebagai generasi lama, kita tidak boleh merungut bahawa generasi baharu
jadi semakin pelik dan aneh, tetapi perlu memahami punca mereka jadi
begitu. Dengan ini, kita tidak akan tertekan dan akan dapat memahami
cara untuk mendekati mereka.
Penulis adalah Pensyarah Kanan, Pusat Kesejahteraan Ihsan dan Komuniti, Fakulti Pengajian Islam UKM
إرسال تعليق
PENAFIAN: KuDotMy tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.