Ye, orang kata boss kami ni gila. Kita baca cerita dia, baru kita faham...
KENAPA SAYA GILA?
Live Coach Fadzil 10.10.2019
Kenapa saya gila? Ramai orang tanya saya kenapa saya nak buat macam-macam? You ni gila ke? Kenapa nak buat benda itu, nak buat benda ini? Dah tak ada kerja lain ke? Kenapa you gila nak buat semua ini?
Saya pernah dipanggil untuk memberi ceramah di EPF kepada staf-staf yang berjumlah 600 orang. Mereka bertanya saya mengapa saya buat sesuatu untuk orang lain sedangkan banyak orang lain berfikir untuk diri sendiri. Orang biasa nampak macam saya ini gila. Bagi orang yang faham tentang kehidupan dirinya, ia tidak gila sebenarnya.
BERUSAHA BUKAN UNTUK DIRI SENDIRI SAHAJA
Kehidupan ini bukan untuk diri sendiri semata-mata. Kalau kita hidup untuk diri kita semata-mata, ia amat membosankan. Kita tidak boleh berjaya kalau kita bersendirian.
Ia akan menggembirakan bila kita nikmati kejayaan itu bersama orang-orang yang kita sayang. Siapa orang yang kita sayang? Nabi bersabda, “Tidaklah seseorang dari kalian sempurna imannya, sampai ia mencintai untuk saudaranya sesuatu yang ia cintai untuk dirinya.”
Siapa saudara kamu ini? Ramai. Berjuta, berbilion. Tadi saya tengok video yang memaparkan 800 juta manusia tiada makanan.
Saya seorang ayah. Saya tak boleh ketepikan sahaja maklumat itu kerana kesibukan. Kita tidak boleh pula berkata, ‘tunggulah orang lain buat, kerajaan buat atau sesiapa orang lain yang buat.’ Saya tak boleh buat begitu. Saya tak tahu kalau orang lain boleh.
Bagi sesetangah orang, ini perbuatan gila. Pada saya tidaklah gila. Saya boleh tidur, saya gembira. Saya tak sakit. Walaupun ada cabaran-cabara orang berniaga seperti orang tak menyukai kita, itu adalah biasa. Insyaallah kita berdoa kepada ALLAH dan ALLAH akan lindungi kita.
SEBAB APA SAYA HENDAK BANTU ORANG LAIN?
Ada yang bertanya, apa yang saya belajar sewaktu saya kecil dahulu yang menjadi nilai asas pada hari ini. Ada satu keadaan yang saya peroleh dari orang tua saya. Saya anak angkat. Ibubapa saya tidak punyai apa-apa.
Bila saya tengok orang lain yang susah, mereka sekurang-kurangnya ada motorsikal. Ayah saya, motorsikal pun tak ada. Dia ada basikal jaguar sahaja.
Dia tidak punyai apa-apa tetapi dia beri segalanya. Kalau hendak dinilai kaya miskin seseorang, dialah yang paling kaya sebab dia boleh beri apa sahaja meskipun dia tak punyai apa-apa. Mengapa saya cakap begitu?
IBU BAPA ANGKAT YANG AMAT PEMURAH
Ayah saya punyai lapan orang anak. Tiga lagi anaknya termasuk saya adalah anak angkat. Kami dibesarkan oleh ayah yang bekerja hanya sebagai Lance Koporal Polis. Mak saya adalah surirumah. Dia ada mengasuh beberapa orang anak orang.
Ibubapa asal saya meninggalkan saya setelah pada mulanya menghantar saya untuk diasuh. Seorang lagi abang menjadi anak angkat kerana ibunya tidak mampu membayar wang asuhan. Adik perempuan menjadi anak angkat pula setelah ibunya berkahwin lain.
Walau macam mana pun, ayah saya yang bergaji kecil mengambil kami bertiga dan menjaga kami dengan penuh cinta dan kasih sayang. Sekiranya mereka yang tiada apa-apa boleh memberi segala-galanya melebihi daripada apa yang mereka ada, dan tiba-tiba saya hanya hendak fikir untuk diri sendiri sahaja, baharulah saya gila!
BALAS BUDI DENGAN MEMBANTU ORANG
Sebab itulah saya gila-gila hendak betulkan ekosistem, kemiskinan dan segala kepincangan ekonomi dalam masyarakat. Saya dilatih secara tidak langsung oleh kedua-dua ibubapa saya. Adik beradik saya kakak-kakak, abang-abang dan yang lain termasuk Kak Nor menjaga saya dan pendidikan saya.
Walaupun Kak Nor bekerja dan punyai sedikit sumber kewangan, dia juga memberi segala kasih sayang kepada saya. Kini saya punyai lebih keupayaan. Tak mungkin saya hendak biarkan sahaja, duduk melepak, bercuti dan simpan duit. Itu maknanya dah melampau!
Sebab itu, teman-teman, sahabat-sahabat dan pejuang-pejuang semua; saya melihat masalah umah dan masalah dunia pada hari ini. Masalah dunia ini boleh kita selesaikan. Saya dah jumpa formula yang mana kita tak perlu tunggu orang lain untuk mulakan.
MAJUKAN DIRI TANPA MELALUI POLITIK
Kita yang mesti bertindak dan mengambil bahagian dalam sebuah kumpulan atau platform yang mana kita boleh ketepikan kepentingan politik. Saya sudah temui platformnya melalui Koperasi Pembangunan Pengguna Islam (KoPPIM).
Insya-ALLAH kita juga akan lancarkan koperasi yang serupa di Indonesia kerana kita hendak menyelesaikan ekosistem ekonomi. Pada hari ini, ekosistem yang digunakan adalah ekosistem kapitalis.
Jadi saya gila kerana arwah ibu dan ayah saya beri segala-galanya meskipun mereka tiada apa-apa. Dan ALLAH telah merahmati saya. Kerana itu saya akan memberi segala yang saya ada dan juga apa yang saya tidak ada!
BANTU ORANG SEDAYA MUNGKIN
Kalau anda susah, kita cari jalan bagaimana hendak senangkan anda. Saya tak punyai banyak duit di tangan. Tapi kita guna apa yang ada. Kalau tak ada, kita cari jalan. Kalau tak ada kerja, datanglah ke sini dan kita carikan kerja yang sesuai untuk anda. Tapi anda kenalah terima.
Kalaupun anda hendak menjadi guru tadika, jawatan ini ada banyak kekosongan. Tapi kita juga jumpa kes-kes jumpa orang di tepi jalan yang mencari kerja. Kita akan cipta kerja untuk mereka. Tiada masalah, sebab soal rezeki ini bukannya kerja kita.
Dalam team kita, kita tidak sentiasa mencongak untung dan rugi. Walaupun kita punyai angka, tetapi dari segi menjaga kelestarian dan aliran tunai, kita tidak bimbang kerana yakin dengan bantuan ALLAH.
Jadi, tuan puan, jomlah sama-sama gila bersama saya. Kalau tak hendak gila pun, sekurang-kurangnya bantulah saya yang gila ini. Sokonglah sedaya yang boleh. Paling kurang jadilah ahli KoPPIM. Menjadi ahli KoPPIM ini tidaklah sukar. Hanya melabur RM100 sebulan.
Kalau kita gerakkan kekuatan ini, kita akan mampu membina ekosistem baharu.
BILIONAIR DUNIA BERNIAGA APA?
Sebentar tadi saya membuat satu analisa data dan melihat satu pola. Tahukah anda 1 % daripada orang yang terkaya di dunia ini punyai kekayaan 3.6 bilion manusia? Jumlah ini pula adalah lebih 50 % daripada kekayaan dunia!
Siapakah golongan 1 % ini? Jumlah mereka pula kurang daripada 10 orang! Di antara mereka yang kaya ini antaranya ialah tuanpunya Zara, Amancio Ortega Gaona yang menjadi di antara jutawan dunia kerana menjual pakaian dan aksesori!
Selain itu, Jeff Bezoz (Amazon), Mark Zuckerberg (Facebook) dan Bill Gates (Microsoft). Kebanyakan mereka yang kaya raya ini adalah mereka dalam sektor teknologi.
Bila kita lihat ini, teknologi jenis apakah yang mereka ceburi? Sebenarnya 80 % daripada teknologi yang mereka ceburi adalah consumer based technology atau teknologi kepenggunaan. Mereka bukannya buat bulan tiruan untuk jadi kaya.
Jeff Bezoz buat Amazon. Apakah kita tak boleh buat seperti Amazon? Khazanah Malaysia melabur RM170 juta di Shopee. Pada hari pertama Shopee dilancarkan dengan segala gimik pemasaran, menurut sumber maklumat yang kami peroleh, mereka tak dapat pun 100 order!
HAYIB.COM PASARAYA ONLINE KITA
Sebaliknya Hayib.com kami yang kosnya tak sampai RM1,000, yang tak banyak features, tetapi hanya bertujuan dijadikan marketplace penjual dan pembeli telah memperoleh nilai urusniaga yang besar daripada Shopee. Apabila ALLAH turunkan keberkatan-Nya, nilai RM1,000 itu lebih besar daripada RM170 juta yang dilaburkan.
Jadilah orang gila seperti kita. Sama-sama kita gila untuk percaya bahawa kita mempunyai kekuatan mengubah ekosistem ekonomi kita.
Majoriti kita yang bekerja atau makan gaji akan berada di tahap sekarang sahaja. Kalau meningkat pun, tidaklah terlalu tinggi. Paling tinggi pun berganda 10X. Kalau inginkan 100X kita perlu dapatkan keberkatan.
10X kena pakai formula niaga. 100X kena pakai formula keberkatan. RM1,000 boleh kalahkan syarikat yang melabur RM170 juta.
TANGGUNGJAWAB PENJUAL DI HAYIB.COM
Hayib.com bermaksud halalan toyibban. Ia adalah marketplace untuk orang Islam. Adalah menjadi tanggungjawab penjual barangan mempastikan apa yang dijual itu halal. Ini adalah tanggungjawab keimanan.
Kalau bukan Islam mengunakan logo halal, mereka tak semestinya menurut syarak. Bukan salah mereka. Agama kita mementingkan keimanan sebagai asas kepada apa yang kita buat. Kerana itulah kalau pun benda yang kita jual itu tidak bagus tetapi kita kata ia bagus, kita akan menjawab kepada ALLAH nanti.
Hayib.com mempunyai lebih 3,000 penjual. Bagaimana kita hendak memeriksa satu persatu produknya? Kerana itu, kami syaratkan, penjual semestinya Muslim. Mereka perlu ada kesedaran iman untuk menjual.
Kita bukan hendak mengasingkan pasaran. Tetapi gunalah platform ini. Kita hanya ambil 1 % untuk kita simpan dalam dana Save the Ummah.
Kredit: DIY Malaya
إرسال تعليق
PENAFIAN: KuDotMy tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.