"Anak Tokku Paloh - Hulubalang Diraja"
ALLAHYARHAM TOK KU SYED SAGGAF BIN SYED ABDUL RAHMAN AL-IDRUS
(ENGKU KELANA DI-RAJA)
Beliau adalah merupakan salah seorang dari anak kepada Al-Marhum Syed Abdul Rahman Bin Syed Muhammad al-Idrus atau dikenali ramai sebagai Tok Ku Paloh. Manakala ibunya pula adalah Al-Marhumah Wan Ngah Binti Wan Abdullah , Iaitu cucu kepada Syeikh Abdul Qadir Bukit Bayas, Mufti pertama Negeri Terengganu.
Beliau juga merupakan seorang penasihat
Di-Raja dalam Istana Terengganu ketika zaman pemerintahan Al-Marhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah. Kerana jasa-jasanya, beliau telah dianugerahkan gelaran ‘Engku Kelana Di-Raja’ satu-satunya gelaran yang jarang diberikan dan hanya dianugerahkan kepada penerima dari kalangan keturunan Syed.
Tok Ku Syed Saggaf dilahirkan di Hiliran, Kuala Terengganu sekitar tahun 1882-1890M, Beliau telah menerima pendidikan awal daripada Tok Ku Paloh sendiri dan selepas kematian ayahandanya pada tahun 1918M, Beliau dididik oleh Al-Marhum Haji Abdul Rahman Limbong yang merupakan salah seorang anak murid Tok Ku Paloh dan juga wira pejuang kemerdekaan yang mengepalai penentangan penduduk tempatan terhadap penjajahan pihak British.
Di atas jasa-jasanya meneruskan perjuangan Tokku Paloh , Beliau telah dianugerahkan sebidang tanah di Gong Kapas oleh Sultan Terengganu iaitu Al-Marhum Sultan Mohamad ibni Sultan Zainal Abidin III. Beliau mentadbir Gong Kapas dengan cukup teliti dan teratur , Tokku Syed Saggaf telah mewujudkan satu komuniti yang sangat baik , dimana beliau telah merancang serta menyusun penduduknya yang terdiri daripada isteri-isterinya, anak-anaknya serta pengikut-pengikutnya dan juga membina surau dan tempat untuk belajar agama serta sebuah gelanggang silat untuk mengajar anak-anak muda ilmu persilatan.
Tok Ku Syed Saggaf bukan saja arif dan alim dalam bab agama , malahan beliau juga handal dalam ilmu persilatan dan yang menariknya beliau juga seorang pandai besi membuat senjata melayu seperti keris. Semasa hayatnya beliau telah menghasilkan lebih kurang lima belas keris yang sangat halus dan bermutu tinggi yang mana ianya sehingga ke hari ini menjadi idaman serta buruan pengemar antik serta pencinta warisan melayu.
Tok Ku Syed Saggaf sangat merendah diri dan ramah hingga ke akhir hayatnya walaupun beliau mempunyai kedudukan tinggi dan pengaruh kuat dalam Istana Terengganu, Beliau sangat disenangi dan dikasihi oleh masyarakat Negeri Terengganu. Beliau meninggal dunia pada tahun 1953M dan telah meninggalkan ramai zuriat dan di antaranya mereka ialah Tuan Ehran, Tuan Jalal, Tuan Saibi, Tuan Saripah dan Tuan Lok Lok.
Bissirril Al-Fatihah.
Semoga Allah Merahmati Ruh Beliau.
إرسال تعليق
PENAFIAN: KuDotMy tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.