Allah SWT membuktikan di dalam kitab suciNya bahawa manusia pasti akan mengalami gangguan emosi bilamana kepentingan kepentingan hidupnya terganggu. Namun apabila manusia beroleh kesenangan, dia akan menjadi orang yang "lupa diri".
.
Firman Allah SWT di dalam surah al-Ma'arij pada ayat ke 19 hingga ke 23 yang bermaksud ;
.
"Sesungguhnya manusia itu dijadikan bertabiat resah gelisah (lagi bakhil kedekut). Apabila ia ditimpa kesusahan, dia sangat resah gelisah. Dan apabila ia beroleh kesenangan, ia sangat bakhil kedekut; Kecuali orang-orang yang mengerjakan sembahyang. Iaitu mereka yang tetap mengerjakan sembahyangnya;" 
.
Al-Imam Ibnu Kathir menafsirkan ayat suci Al Quran ini dengan menyatakan ;
.
"Allah SWT menerangkan perihal tabiat manusia yang memiliki sifat takut, kurang sabar dan selalu berkeluh kesah. Jika ditimpa bencana atau malapetaka, manusia selalu mengeluh dan berputus asa."
.
"Sebaliknya jika mendapat keuntungan atau kebaikan, maka manusia akan kikir, kedekut dan bakhil."
.
"Keadaan ini tidak akan berlaku pada orang yang tekun menunaikan solat, khusyuk dan tenang dalam solatnya."
.
Oleh kerana itu, apabila kita meneliti Firman Allah SWT berserta tafsirannya ini, kita akan dapat memahami bahawa kesan solat yang khusyuk dan tenang pasti akan menenangkan jiwa yang sedang berkecamuk dan resah gelisah sekaligus emosi yang terganggu dapat diuruskan dengan baik. 
.
Bukankah Allah SWT memberi jaminan bahawa apabila manusia mengingatiNya pasti akan beroleh ketenangan jiwa?
.
Firman Allah SWT di dalam surah ar-Ra'd ayat ke 28 yang bermaksud ; "Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia."
.
Justeru ketika emosi kita terganggu, perbanyakkanlah mengingati Allah SWT. Kerana dengan berbuat demikian, emosi kita yang terganggu akan dapat diuruskan dengan baik serta kita juga akan terselamat daripada melakukan perkara perkara yang mendatangkan kemurkaan Allah SWT. Wallahu'alam.
.
#AkhiAdifGorment
16 October 2020

Post a Comment

PENAFIAN: KuDotMy tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.

Previous Post Next Post