Apa itu kompos?
Kompos ialah baja organik yang terjadi dari bahan-bahan organik yang reput dan terurai. Contoh adalah seperti daun kering, sisa sayuran, kulit buah, rumput basah atau kering dan sebagainya.
Apakah kegunaan kompos?
Kita boleh gunakan kompos sebagai medium untuk mengembalikan kesuburan tanah dan juga sebagai nutrien untuk tumbuhan yang anda tanam. Kompos bersifat organik jadi ia selamat digunakan tanpa ada bahaya overdos seperti kita menggunakan baja kimia.
Kenapa kompos?
Ianya menjimatkan kos, mesra alam dan memenuhi kitaran alam semula jadi. Ia mengelakkan dari bahan basah seperti sayur, daun, buah dan bahan organik lain dari memenuhi tapak pelupusan sampah.
Sekiranya anda baru mula berjinak-jinak nak cuba buat kompos sendiri ini caranya:
1. Kumpulkan bahan kering (warna perang) yang kaya dengan karbon. Contoh: daun kering, rumput kering, potongan pokok kecil yang dah kering.
2. Kumpulkan bahan hijau - bahan ini kaya dengan unsur nitrogen. Contoh: rumput yang baru di potong, sisa sayuran dan buah-buahan di dapur.
3. Ada sedikit tinja binatang yang makan tumbuhan contoh: ayam, lembu, dan kambing (bukan dari binatang kesayangan spt kucing dan sebagainya). Admin selalu buat kompos tanpa bahan ini dan kompos masih terbentuk. Jadi, jangan risau jika tidak ada bahan ini.
4. Bahan buangan seperti kulit telur, tanah dalam pasu yang dah hilang nutrien juga boleh dimasukkan sebagai bahan kompos. Tanah ini contohnya masih mempunyai mikrob yang berguna untuk meleraikan bahan-bahan tadi untuk menjadi kompos.
5. Air - untuk melembabkan himpunan kompos
Cara membuat:
1. Anda boleh membuat kompos di dalam tong, dihimpunkan di dalam satu longgokan, dalam bekas kayu dan sebagainya. Cuma pastikan ada pengudaraan tetapi tidak menjadi terlalu basah akibat hujan.
2. Lapiskan bahan-bahan di atas secara selang seli. Perang, hijau, tanah, perang, hijau, tanah, dan seterusnya.
3. Seminggu sekali bolak balik kan bahan kompos. Jika terlalu kering, tambahkan lembapan - siram sedikit air.
4. Kompos yang terbentuk setelah beberapa bulan akan berwarna hitam, terlerai seperti serbuk halus dan berbau wangi seperti tanah gambut.
Mulai sekarang, jangan lagi buang sisa sayur & buah di dapur tu. Jadikan kompos.
Selamat mencuba!
Kredit : DIY Malaya
Post a Comment
PENAFIAN: KuDotMy tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.